Followers

27 Dis 2010

Pengaruh anime dan manga di Malaysia.......

Anime (animasi Jepun) mempunyai pengikut yang ramai di Malaysia terutamanya di kalangan pelajar reka bentuk, animasi dan multimedia. Jika suatu ketika dahulu kanak-kanak dan remaja hanya mengetahui watak dan cerita kartun Amerika, tetapi sekarang mereka tertarik kepada sesuatu yang lebih hampir dengan negara dan kebudayaan mereka. Pertama kali penonton Malaysia dihidangkan dengan anime di layar ialah melalui Princess Mononoke dan Spirited Away oleh Hayao Miyazaki dan Metropolis oleh Osamu Tezuka. Filem lain seperti Akira, Ghost in the Shell, My Neighbour Totoro dan Grave of the Fireflies boleh didapati dalam bentuk VCD atau DVD.  Setiap minggu lebih kurang 300 program animasi luar negara ditayangkan di televisyen Malaysia, dan 25 daripadanya adalah anime.  Doraemon merupakan anime yang mendapat sambutan paling hangat. Ianya ditonton oleh setiap lapisan masyarakat, tidak kira muda atau tua dan merentasi sempadan kebudayaan tidak seperti siri yang lain.

Sejarah Ringkas Animasi Malaysia
Usop Sontorian 1995 - Animasi Siri TV pertama
Contoh pertama animasi di dunia ialah wayang kulit. Dengan bentuk dan sendi tangan yang digerak-gerakkan, ianya merupakan bentuk yang digunakan dalam animasi guntingan (cutout). Lotte Reiniger, animator dari German mendapat ilham untuk membuat filemnya iaitu The Adventures of Prince Achmed (1926) berasaskan wayang kulit.
Animasi di Malaysia bermula pada tahun 1946 dengan tertubuhnya Unit Filem Malaya (sekarang dikenali sebagai Filem Negara). Filem animasi pendek yang pertama ialah Hikayat Sang Kancil (Anandam Xavier, 1978) dan ditayangkan pada tahun 1983. Filem pendek yang muncul di antara tahun 1984 dan 1987 ialah: Sang Kancil & Monyet, Sang Kancil & Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan Singa Yang Haloba.
Gesaan kerajaan terhadap penggunaan teknologi digital pada awal 1980an menyaksikan penghasilan siri TV pertama, Usop Santorian oleh sektor swasta (Kamn Ismail, 1998). Manakala filem cereka pertama, Silat Lagenda (Hassan Abd Muthalib) ditayangkan pada tahun 1998. Terkini, sebanyak 31 siri TV, 4 telefilem dan 3 filem cereka telah dibuat (beberapa daripadanya telah dijual ke negara lain). Beberapa orang kartunis juga telah menukar karektor mereka ke bentuk animasi. Di antaranya  adalah: Lat (Kampong Boy – dibangunkan di Amerika dan dianimasi di Filipina); Imuda (Mat Gelap, filem tempatan pertama mempunyai karektor animasi); Nan (Din Teksi); dan Ujang (Usop Santorian).
Tarikan Terhadap Anime  Pelajar bersetuju bahawa:
  • Anime berbeza daripada animasi Barat terutamanya pada gambaran visualnya yang kelihatan lebih nyata berbanding animasi Barat.
  • Jalan cerita anime bukanlah seperti cerita Hollywood yang boleh diramal, dikitar semula dan tidak banyak berubah, tetapi anime menawarkan cerita baru yang berbeza daripada episod ke episod dan siri ke siri.
  • Karektor di dalam animasi Amerika kebanyakannya berasaskan haiwan (Mickey Mouse, Donald Duck, Bugs Bunny), sementara karektor anime kebanyakannya manusia atau robot.
  • Dari segi jantina, anime perempuan sama taraf dengan lelaki dan berkelakuan dengan yakin dan matang.
  • Kualiti kerjaseni dengan penggunaan bayang-bayang dan bahagian yang terang merupakan satu tarikan yang hebat, walaupun anime menggunakan animasi yang terhad.
  • Anime juga dialihbahasa ke Bahasa Malaysia sementara tidak ada siri TV Amerika yang berbuat demikian.
  • Manga mempunyai ciri visual yang hebat, dengan kaligrafi menjadi sebahagian daripada visualnya (pakar neuro psikologi Jepun mendapati bahawa  kombinasi bahasa dan gambar di dalam komik merangsang kedua-dua hemisfera kanan dan kiri otak, menyumbang ke arah keupayaan mereka bentuk dengan lebih baik dan mengenalpasti corak).
Silat Lagenda 1998 - Filem Animasi pertama
Pengaruh Anime Ke Atas Animasi Malaysia
Ianya bermula apabila beberapa studio animasi Jepun memberikan kerja-kerja melukis dan mewarna kepada Lensafilm, studio filem komersial Malaysia sekitar 1985. Pada awalnya hanya kerja melukis dan mewarna sahaja yang dilakukan. Kakitangan Jepun melatih pekerja tempatan dan sebahagian daripada mereka dihantar ke Studio Toei, di Jepun untuk dilatih tentang gaya anime.
Mereka mendapat kepercayaan melakukan kerja-kerja in-betweening untuk filem seperti Transformers, Sailormoon dan Dragonball. Dengan kehadiran siri TV animasi tempatan, didapati terdapat produksi yang menggunakan gaya anime (ini dapat dilihat dengan jelas pada rupa harimau dalam Sang Wira, kucing dalam Edi & Cici, dan karektor manusia dalam Man Spider dan Silat Legenda).
Pengaruh anime juga dapat dilihat di dalam paparan letupan dan asap, pergerakan mulut, kitaran berjalan dan berlari dan babak karektor menangis. Apabila animator ini berpindah ke studio lain, mereka masih mengekalkan cara anime. Mereka tidak mencuba untuk membangunkan gaya mereka sendiri disebabkan tiada seorang pun daripada mereka mempunyai latihan di dalam seni dan reka bentuk serta tidak didedahkan kepada berbagai cara animasi negara lain.
Siri pertama yang mempunyai latar belakang yang diilhamkan dari anime ialah Sang Wira. Lukisan latarbelakangnya diinspirasikan daripada pemandangan kampung dan luar bandar seperti dalam filem Miyazaki. Begitu juga dengan latar belakang siri Silat Legenda, di mana langit biru dan berawan mencerminkan apa yang dirasai oleh pengarah terhadap kawasan luar bandar – iaitu aman, tenang dan bersifat kerohanian.

Mat Gelap 1990 - filem tempatan pertama mempunyai karektor animasi
Alasan Penerimaan Anime
Ekspresi kesenian dan kebudayaan Malaysia adalah sama seperti kebanyakan negara Asia lain. Orang Asia menyukai butir-butir terperinci, kaya dengan warna-warni dan tekstur, dengan motif bunga-bungaan paling popular.  Pertunjukan pementasan, tarian dan muzik selalunya dimasukkan gambaran tuhan, dewa dewi ataupun kewujudan unsur-unsur kerohanian. Bagi mengekspresikan perasaan mereka terhadap dewa-dewa, mereka memakaikan pelakon-pelakon mereka dengan pakaian dan dandanan lain, yang menjadi sempadan di antara fantasi dan mitos.
Orang-orang Jepun juga mempunyai tradisi teater, muzik dan tarian yang menggunakan kostum yang sangat cantik bagi menyanjung pelakon, penari dan pemuziknya. Artis anime dan manga mendapat inspirasi untuk rekaan pakaian tradisi daripada antaranya ialah teater Noh dan Kabuki, drama Kyogen, muzik dan tarian Gagaku dan Nukui-Bayashi, teater boneka Bunraku dan tarian tradisi Ryukyu. Di Malaysia, terdapat beberapa filem animasi menggunakan seni dan rekaan tradisional Malaysia, contohnya,  Singapura Dilanggar Todak (Alan Aziz, 2000) yang menggunakan wayang kulit, batik dan elemen tekstil Malaysia di dalam rekaan dan latar belakang karektor. Kostum, props dan latar belakang Silat Legenda juga merujuk kepada  warisan kebudayaan Malaysia yang kaya dan menggambarkan kawasan luar bandar, hutan dan bukit, begitu juga dengan filem pendek 3D, A Malaysian Friday (Tajino, 2000).

Kesimpulan
Latihan animasi secara formal di Malaysia hanya bermula pada tahun 2000.  Hari ini, kita mempunyai ramai animator yang berkelayakan yang mana suatu hari nanti akan mencipta bentuk seni animasi yang istimewa seperti mana  anime dari Jepun. Sebagaimana  pelopor animasi Jepun, Osamu Tezuka yang mendapat inspirasi daripada animasi Amerika, pembuat filem Malaysia mendapat inspirasi daripada anime yang membawa mereka menerokai asal usul mereka.  Filem anime semakin banyak membanjiri pasaran Malaysia dan bersaing dengan produk dari Barat. Monopoli animasi Amerika (terutamanya Disney) telah  dipecahkan dan ianya memberi alternatif kepada penonton. Seorang sahabat yang bekerja di Disney dan Dreamworks memberitahu bahawa selepas menonton Princess Mononoke, beberapa animator di Disney berteriak: Itulah perkara yang kami ingin lakukan!

Ini ialah versi yang diedit daripada kertaskerja yang dibentangkan di Forum Antarabangsa Anime dan Manga, Tokyo, Jepun yang dianjurkan oleh Agensi Hal Ehwal Kebudayaan, Jepun pada Mac 2003 di simposium WILL THE JAPANESE STYLE ANIME BE AVAILABLE FOR CREATIVE ANIMATION IN ASIA.
Hassan Abd Muthalib ialah pelopor di dalam industri animasi dan Pengarah Filem serta Penulis. Beliau memberi syarahan separuh masa di institusi latihan tempatan dan luar negara. Penulisannya tentang filem dan animasi dikeluarkan di dalam penerbitan tempatan dan antarabangsa.

Tiada ulasan:

PSP Komuniti Blogger

PSP Komuniti Blogger